Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

Muadzam Shah, 6 November – YB Datuk Seri Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), hari ini mengadakan lawatan kerja ke Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Muadzam Shah, Pahang bagi meninjau kemajuan projek penyelidikan Ayam Saga yang dibangunkan oleh MARDI.

Lawatan ini bertujuan menilai potensi baka ayam kampung baharu tersebut dalam memperkukuh industri ternakan ayam kampung tempatan serta menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

Turut hadir ialah YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM; serta pegawai kanan daripada pelbagai kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Ayam Saga merupakan baka ayam kampung baharu hasil penyelidikan jangka panjang MARDI sejak tahun 2008. Ia dibangunkan sepenuhnya daripada sumber genetik ayam kampung tempatan tanpa sebarang pengacukan dengan baka luar negara.

Melalui program pembiakbakaan terancang dan penilaian prestasi selama sembilan generasi, MARDI berjaya menghasilkan baka Ayam Saga yang stabil, seragam dan berkualiti tinggi dengan keupayaan dwifungsi — sesuai untuk pengeluaran daging dan telur.

Ayam Saga menampilkan kadar pertumbuhan lebih cepat dan kadar peneluran lebih tinggi berbanding ayam kampung asli. Ayam Saga jantan mampu mencapai berat minimum 1.5 kilogram pada usia 12 minggu, manakala kadar pengeluaran telur mencapai 60 peratus dengan purata saiz telur melebihi 40 gram.

Selain itu, Ayam Saga mempunyai sifat tahan lasak dan sesuai diternak dalam pelbagai sistem pengeluaran termasuk sistem separa intensif, lepas bebas atau integrasi di bawah ladang sawit, getah dan buah-buahan.

Sehingga kini, permintaan terhadap anak Ayam Saga amat memberangsangkan, namun pengeluarannya masih terhad. Di bawah pelaksanaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12), sebanyak 1.37 juta ekor ayam Saga berjaya dikeluarkan. Menyedari potensi besar baka tempatan ini, MARDI komited memperluas pengeluaran baka ini melalui pembangunan ladang pembaka (Parent Stock) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.
 
Setakat ini, sebanyak tujuh ladang pembaka dan rakan strategik di lima zon utama telah dikenal pasti dan dilibatkan dalam pengeluaran serta penilaian prestasi Ayam Saga, iaitu:
  • Zon Tengah: JASAJAYA AGROFARM, Kuala Selangor, Selangor
  • Zon Timur: LADANG RAKYAT TERENGGANU, Kemaman, Terengganu & LADANG DANA MARDI MUADZAM, Pahang
  • Zon Selatan: SAHABAT GADEK AGROFARM, Alor Gajah, Melaka & LADANG DANA MARDI, Kluang, Johor
  • Zon Sarawak: AL-AIN EMH, Kuching & SAGA SINARMAS, Miri
Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pembangunan rantaian nilai ayam kampung tempatan melalui latihan teknikal, pemindahan teknologi dan sistem sokongan pembiakbakaan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran Ayam Saga di seluruh negara.
Menurut YB Datuk Seri Mohamad Sabu, beliau berbangga dengan kejayaan penyelidik MARDI membangunkan baka ayam kampung tempatan berkualiti tinggi seperti Ayam Saga.

“Inovasi ini bukan sahaja memperkukuh industri ayam kampung negara, malah menyokong agenda keterjaminan makanan melalui penggunaan sumber genetik tempatan.

Kementerian akan terus menyokong usaha MARDI dalam memperluas pengeluaran Ayam Saga serta memperkukuh jaringan kerjasama dengan penternak di seluruh negara agar hasil penyelidikan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan industri,” katanya.
Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan KPKM dalam memperkukuh ekosistem inovasi agromakanan negara melalui penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan hasil inovasi tempatan.

TAMAT
    

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan