Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

Sook, 18 Oktober 2025 – Seramai hampir 200 orang petani tempatan sekitar Parlimen Sook telah menyertai Kursus Teknologi Penanaman Bawang Merah bersempena Program Mini Karnival Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) “Pertanian untuk semua” yang diadakan di Kampung Karamatoi, Sook, Sabah. Program ini merupakan anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) bertujuan memperkenalkan teknologi penanaman bawang merah yang sesuai diaplikasikan dalam keadaan agroiklim tempatan.

Kursus ini memberi pendedahan kepada peserta mengenai teknologi pengeluaran bawang merah varieti BAW-1 dan BAW-2 yang dibangunkan oleh MARDI. Kedua-dua varieti ini dikenal pasti mempunyai potensi tinggi untuk diusahakan di negeri Sabah serta berupaya menghasilkan bawang merah berkualiti tinggi yang setanding dengan varieti import.

Antara pengisian utama kursus ialah pengenalan industri bawang merah di Malaysia, pengenalan varieti yang beradaptasi dengan iklim tempatan, kaedah penanaman konvensional dan sistem fertigasi, serta amalan kawalan perosak dan penyakit yang berkesan. Peserta turut diberikan pendedahan mengenai pengurusan lepas tuai yang efisien bagi mengekalkan kualiti dan viabiliti benih bawang merah.

Selain sesi teori, program ini turut menampilkan demonstrasi lapangan yang memperlihatkan langkah demi langkah penyediaan media tanaman, proses penyemaian serta teknik penanaman bawang merah. Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta untuk melihat secara langsung aplikasi teknologi yang dibangunkan oleh MARDI.

Penganjuran kursus ini diharap dapat meningkatkan pengetahuan serta kemahiran teknikal petani tempatan dalam usaha memperluas penanaman bawang merah di Sabah. Inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import bawang serta memperkukuh industri benih tempatan.

Pelaksanaan program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif pemindahan teknologi oleh MARDI dan LPP kepada komuniti petani bagi menggalakkan penggunaan teknologi moden yang lebih efisien dan berdaya saing. Kursus ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada pembangunan ladang bawang merah baharu di beberapa kawasan terpilih di negeri Sabah.

MARDI dan LPP komited untuk terus memperkukuh kerjasama strategik dalam membantu petani mengadaptasi teknologi baharu serta memastikan kelestarian industri bawang merah tempatan pada masa hadapan.

Terdahulu, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI telah hadir bersama – sama bagi sesi taklimat dan kursus Teknologi Penanaman Bawang Merah dan seterusnya Majlis Perasmian Program Mini Karnival KPKM telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan dan telah menyampaikan sijil penyertaan Kursus Teknologi Penanaman Bawang Merah kepada para peserta.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Dato’ Wira Haji Mahfuz Bin Haji Omar, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang; YBrs. Dr. Zulhazmi bin Sayuti, Pengarah Penyelidikan Hortikultur; Dr. Helda Souki, Pengarah MARDI Negeri Sabah; dan pegawai-pegawai dari Lembaga Pertubuhan Peladang dan MARDI.

TAMAT    

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan