SERDANG, 8 Mei 2025 - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menganjurkan Showcase Teknologi MARDI 2025 atau ringkasnya ShowTech MARDI 2025 selama lima hari bermula 29 Mei hingga 2 Jun ini dari jam 10.00 pagi sehingga jam 10.00 malam di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang dan Ibu Pejabat MARDI, Serdang.
Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata ShowTech MARDI 2025 merupakan wadah terbaik untuk masyarakat dan pemain industri melihat dan memahami sendiri teknologi-teknologi dan inovasi terkini dan inovasi yang telah dibangunkan oleh MARDI sejak 50 tahun yang lalu.
Menurut beliau, program yang dianjurkan untuk kedua kalinya sejak tahun 2023 ini dijangka dapat menarik kehadiran seramai 500,000 pengunjung dari pelbagai latar belakang masyarakat iaitu petani, penternak, usahawan, NGO dan belia termasuk pelajar-pelajar sekolah dan Institusi Pengajian Tinggi.
“Program ini sangat menarik kerana para pengunjung berpeluang menyaksikan lebih 200 teknologi yang sedia dikomersialkan mahupun yang telah dipindahkan kepada masyarakat dan industri akan dipamerkan.
“Pada masa yang sama, masyarakat dan pemain industri boleh bertemu para penyelidik MARDI bagi mendapatkan maklumat dan memberikan input serta maklumbalas untuk penambahbaikan R&D dan penghasilan teknologi MARDI,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Taklimat Media yang diadakan di Ibu Pejabat MARDI di sini hari ini.
Beliau menambah, aktiviti utama program ini akan dijalankan di tiga zon iaitu Zon A (Dewan A, dan sekitar Dewan MAEPS), Zon B (Laluan Pertanian Moden, Showplot Tanaman Bernilai Tinggi, Showplot Tanaman Industri dan Showplot Pertanian Pintar), dan Zon C (Laman Ternakan, Kids’ Attraction, Laman Herba, Laman Kelulut dan Laman Sayur).
“Di Zon A, iaitu Dewan A MAEPS, Show Tech MARDI 2025 akan memfokuskan kepada 8 kluster pameran utama iaitu Kluster Tanaman Bernilai Tinggi, Kluster Tanaman Industri, Kluster Padi & Beras, Kluster Teknologi Makanan, Kluster Pertanian Pintar, Kluster Teknologi Ternakan, Kluster Pemindahan Teknologi dan Kluster Agropelancongan.
“Antara aktiviti di Dewan A termasuk pameran teknologi, demo teknologi, seminar teknologi dan Pocket-talk, padanan perniagaan - Melibatkan syarikat-syarikat dan pemain industri untuk mengambil dan mengembangkan teknologi yang dijana MARDI.
“Turut disediakan Klinik Tanaman, Klinik Usahawan serta jualan pelbagai produk dan hasilan MARDI seperti biji benih, anak pokok dan bahan input pertanian di pavilion jualan berhadapan Dewan A MARDI.
Beliau berkata, pihak MARDI turut menyediakan Laman Kid’s Attraction yang akan menyediakan aktiviti yang sangat menarik dan interaktif bagi kanak-kanak sempena cuti persekolahan penggal 1 tidak lama lagi.
“Antara program yang disediakan ialah Earth Hero (Safe Food Awareness), Agro EduGenius (Career Talk, CSI) dan AgroCulture (Wau Making Workshop),
“Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan juga akan diadakan di Dewan C dan kawasan sekitar Kompleks Dewan Pameran di MAEPS seperti Larian ShowTech MARDI 2025 Run, pameran mesin pertanian serta kawasan Coffee Corner & Cafe’s, Jualan Agro Madani dan Food Truck Fiesta,” jelasnya.
Sementara itu kata beliau, pihak MARDI akan mengadakan jerayawara di seluruh negara bagi memberi hebahan dan informasi kepada orang ramai mengenai program ShowTech MARDI 2025.
“Antara lokasi yang akan dikunjungi adalah Pasar Tani Ipoh pada 10 Mei, Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highlands pada 11 Mei dan di Perkarangan Dataran Alor Setar pada 12 Mei ini.
“Selain itu jelajah promosi ini turut merangkumi Pasar Tani Shah Alam dan Pasar Tani MAEPS pada 17 Mei, Pasar Tani Temerloh pada 18 Mei serta Jonker Walk dan Mahkota Parade di Melaka 24 Mei ini,” tambahnya.
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my