Skip to main content
Soalan<br>Lazim

Soalan
Lazim

Hubungi<br>Kami

Hubungi
Kami

Maklum Balas<br>& Aduan

Maklum Balas
& Aduan

Peta<br>Laman

Peta
Laman

KUNDASANG, 23 Mei 2026 – YB Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI di Kampung Mesilau, Kundasang, Sabah bagi meninjau perkembangan pelaksanaan projek strategik yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dalam usaha memperkukuh industri bawang merah tempatan.

Lawatan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan industri bawang merah tempatan melalui penghasilan benih berkualiti tinggi, peningkatan produktiviti serta pengurangan kebergantungan negara terhadap import bawang.

Semasa lawatan, YB Datuk Chan Foong Hin telah diberikan taklimat berkaitan perkembangan Projek Pengeluaran Benih Bawang Merah MARDI termasuk kemajuan kawasan penanaman, penggunaan varieti bawang BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 serta potensi pengembangan projek ke skala yang lebih besar.

Turut diadakan ialah lawatan ke kawasan ladang usahawan serta rumah pengeringan dan penyimpanan benih bawang merah yang dibangunkan oleh MARDI bagi menyokong pengeluaran benih secara konsisten dan memenuhi standard kualiti yang ditetapkan.

Kemudahan bernilai RM523,000 tersebut berfungsi sebagai pusat pengendalian dan penyimpanan benih sebelum diedarkan ke Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak. Inisiatif ini selaras dengan usaha kerajaan untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 di samping memastikan industri bawang negara terus kekal mampan dan berdaya saing.

Projek pengeluaran benih bawang merah ini dilaksanakan bersama usahawan tani tempatan, En. Shahrizal Denci yang mula terlibat di bawah program MARDI pada tahun 2024. Sepanjang dua musim penanaman terdahulu, beliau berjaya menghasilkan sebanyak 20 metrik tan bawang merah melibatkan kawasan seluas lima ekar.

Bagi memperkukuhkan kapasiti pengeluaran, kawasan penanaman kini sedang diperluaskan secara berperingkat sehingga mencapai 40 ekar menjelang tahun 2030 dengan sasaran pengeluaran keseluruhan sehingga 200 metrik tan. 

MARDI akan terus komited memperkasa pembangunan teknologi, pemindahan inovasi dan sokongan teknikal kepada komuniti tani bagi memastikan industri bawang merah tempatan terus berkembang secara mampan dan berdaya saing, sekali gus menyokong agenda sekuriti makanan negara.

Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Haji Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani Ketua Pengarah MARDI.     

TAMAT

Pengarang

  • Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia

  • Pusat Komunikasi Korporat
    Ibu Pejabat MARDI
    Persiaran MARDI-UPM
    43400 Serdang
    Selangor

  • 03-8953 7201

  • 03-8953 7220

  • Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

  • https://www.mardi.gov.my

Media Sosial MARDI

Berita Berkaitan