Kepala Batas, 25 Ogos 2025 – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) hari ini telah mengisytiharkan varieti padi baharu MR 333 yang diberi nama MENORA, hasil penyelidikan saintifik terkini yang mampu meningkatkan produktiviti dan daya tahan tanaman padi negara.
Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Baharu MARDI – MR 333 telah disempurnakan oleh YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan di Kampung Lahar Minyak, Kepala Batas.
Varieti MR 333 merupakan hasil penyelidikan intensif MARDI yang turut disokong melalui peruntukan RM36.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan padi dan beras.
Dalam ucapannya, YB Menteri berkata, pengisytiharan varieti MR 333 merupakan kejayaan berterusan hasil penyelidikan oleh MARDI yang menyokong matlamat Pelan Reformasi Industri Padi dan Beras Negara. Varieti ini dibangunkan khas untuk kawasan jelapang dan telah mencatatkan potensi hasil tertinggi sehingga 9.96 tan sehektar. Ia terbukti berdaya saing dan mempunyai ketahanan terhadap penyakit. Saya yakin varieti ini mampu membantu meningkatkan pendapatan pesawah jika disertai dengan amalan penanaman yang baik.
YB Menteri turut mengumumkan bahawa varieti MR 333 secara rasminya dinamakan MENORA, mengambil sempena budaya tradisi dan warisan negeri di utara Semenanjung Malaysia.
Varieti MR 333 sesuai sebagai alternatif kepada varieti popular seperti MR 297, MR 315, MR 303 dan MR 307, dan dijangka akan mendapat sambutan dalam kalangan pesawah kerana tempoh matang yang singkat (103–108 hari), ketahanan rebah, dan berat 1,000 biji yang tinggi (30.9g) – faktor penting dalam meningkatkan produktiviti ladang.
Padi MR 333 yang diperkenalkan hari ini ditanam secara kaedah mencedung menggunakan mesin jentanam, yang mampu meningkatkan keberkesanan pengurusan tanaman dan memberi pulangan lebih baik kepada pesawah.
MARDI kini telah menghasilkan sebanyak 58 varieti padi, dengan lebih 95% kawasan jelapang utama negara ditanam menggunakan varieti MARDI. Varieti seperti MR 297 dan MR220 CL2 terus menjadi pilihan utama pesawah berdasarkan laporan Jabatan Pertanian Malaysia bagi musim utama 2022/2023.
Bersempena dengan majlis itu juga, YB Menteri turut menyampaikan Geran Agropreneur Muda KPKM kepada Encik Hambali Ammar bin Hamdan bernilai RM90,000 dan Geran Projek Perintis RMK-12 kepada Encik Chuah Ling Chean bernilai RM37,140.00 serta beliau turut menyampaikan benih padi MR333 kepada 5 orang Pesawah Projek Peningkatan Skala Varieti Padi Baharu MARDI MR 333.
Hadir sama ialah YBrs. Dr. Azman bin Ismail, Pengerusi Lembaga Pengelola MARDI; Yang Berbahagia Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani, Ketua Pengarah MARDI; serta pegawai kanan kementerian, agensi, pesawah dan pemain industri.
-TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my