SEBERANG PERAK, 14 Julai 2025 – Varieti baharu MR CL3 dan MR CL4 pada hari ini merupakan hasil daripada kerjasama strategik antara MARDI dan BASF yang telah berlangsung sejak 20 tahun lepas.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Bin Sabu berkata, usaha ini bukan sahaja mencetuskan teknologi inovatif yang sesuai dengan cabaran semasa, malah menjadi model kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam membangunkan industri padi dan beras negara.
“Kaedah pengkomersialan ini dilaksanakan melalui Sistem Pengeluaran Clearfield® BASF yang merangkumi varieti padi, racun rumpai khas TrekTM dan panduan penggunaan teknologi. Ketiga-tiga komponen ini perlu digunakan bersama bagi menjamin kelestarian teknologi dan mencapai matlamat untuk menangani masalah padi angin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Clearfield® Baharu MR CL3 dan MR CL4 di Pusat Benih Padi FELCRA Plantation Services Sdn. Bhd, Seberang Perak. Turut hadir Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, YB Dato’ Mohd Zolkafly Harun, Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak, Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail dan Ketua Pengarah MARDI, Dato’ Dr. Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani. Majlis turut dihadiri En. Mohamed Ismi Abdul Majid, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Mr Robert Upton, Business Area Director, BASF South East Asia Pte. Ltd dan Janice Lim, Head of Business Management, Agricultural Solutions Malaysia, BASF (Malaysia) Sdn Bhd.
Kelebihan MR CL3 dan MR CL4 yang matang awal (99 hari dan 102 hari) dengan potensi hasil melebihi 7 tan sehektar serta mempunyai ketahanan terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai, dapat dimanfaatkan di dalam program inisiatif KPKM yang sedang dijalankan seperti penanaman lima kali dua tahun dan SMART SBB. Langkah ini bertujuan mengurangkan masalah padi angin, meningkatkan produktiviti dan kesejahteraan pesawah.
Beliau menambah, diharapkan agar Sistem Pengeluaran Clearfield® MR CL3 dan MR CL4 dari MARDI dan BASF ini memberi manfaat kepada pesawah dan dapat memberi impak kepada industri padi negara.
TAMAT
Pengarang
-
Institut Penyelidikan Dan Kemajuan Pertanian Malaysia
-
Pusat Komunikasi Korporat
Ibu Pejabat MARDI
Persiaran MARDI-UPM
43400 Serdang
Selangor -
03-8953 7201
-
03-8953 7220
-
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya. -
https://www.mardi.gov.my